Banyak tersebar di internet terutama di facebook tentang “Perbezaan ikan keli memakan bahan haram dan halal” yang mana info yang diberikan oleh penulis asalnya adalah salah sama sekali. Saya rasa terpanggil untuk membetulkan fakta yang kurang tepat ini supaya orang ramai tidak mudah tertipu atau terkeliru dengan “khabar angin” atau dari pandangan orang yang kurang ilmu dalam perkara ini.
Jika orang ramai percaya dengan artikel ini, dikhuatiri penternak ikan keli yang tidak tahu hujung pangkalnya yang akan menjadi mangsa, kerana pembeli takut untuk membeli ikan keli kayu atau hibrid ikan keli Afrika yang dikatakan haram kerana tulang supraosipitalnya (kepala) berbentuk “V”.
Sebenarnya tiada kaitan antara makanan haram atau halal yang dimakan oleh ikan keli atau mana-mana haiwan dengan bentuk morfologinya. Perbezaan bentuk morfologi yang dinyatakan dalam artikel ini hanya ciri-ciri luaran semulajadi untuk membezakan antara spesies ikan keli, bukan disebabkan makanannya halal ataupun tidak. Mungkin kebetulan semasa penulis artikel asal pergi ke kolam ternakan ikan keli kayu atau ikan keli Afrika hibrid, penternak memberi makanan yang tidak halal, maka penulis terus membuat kesimpulan yang kurang tepat.
Berikut diberikan fakta mengenai 3 spesies ikan keli yang biasa terdapat di negara kita, termasuk 2 spesies tempatan iaitu keli kayu dan keli bunga dan satu spesies keli Afrika (diperkenalkan dari Afrika dan sekarang telah banyak terdapat hibridnya diternak di negara ini). Perhatikan rajah-rajah yang membezakan ketiga-tiga spesies ikan keli ini.
No. 1: Ikan keli bunga (Clarias macrocephalus) yang mempunyai tulang supraosipital berbentuk “U” dan bahagian atas (dorsal) badan warna hitam kelabu manakala di bahagian bawah (ventral) berwarna putih kelabu. Kadang-kadang terdapat juga bintik-bintik kelabu putih di badan.
No. 2: Ikan keli kayu (Clarias batrachus) yang mempunyai tulang supraosipital berbentuk “V” dan bahagian atas (dorsal) badan berwarna hitam berkilat manakala di bahagian bawah (ventral) badan berwarna putih. Badan lebih panjang dan kurus berbanding keli bunga.
No. 3: Ikan keli Afrika (Clarias gariepinus) yang mempunyai tulang supraosipital berbentuk “V” (hampir menyerupai keli kayu) tetapi badannya lebih besar, bahagian atas (dorsal) dan sisi (lateral) badan berwarna gelap/hitam manakala di bahagian bawah (ventral) badan berwarna kelabu putih. Jika dalam keadaan stress, terdapat bintik-bintik hitam di permukaan badannya. Keli Afrika mempunyai sengat (spina) pektoral yang kurang tajam berbanding dengan ian-ikan keli tempatan.
Perlu diingat bahawa warna air dan tahap kekeruhan air mempengaruhi warna ikan keli, jika warna air hitam maka warna kulit ikan akan lebih gelap daripada biasa, namun begitu bentuk tulang supraosipital tidak akan berubah.
Diharap dengan penerangan yang serba ringkas ini orang ramai tidak lagi terkeliru dengan ciri-ciri ikan keli. Kesimpulannya, makanan haram atau halal tidak mempengaruhi bentuk badan dan morfologi ikan keli. Semoga bermanfaat….
Fakta kurang tepat yang tersebar dalam internet/facebookInfo:Perbezaan ikan keli memakan bahan haram dan halalHaramKepala berbentuk ‘V’
Bentuk badan mirip torpedo
Badan berwarna hitam berkilat
Bahagian bawah badan berwarna putih melepak
Bahagian antara bawah kepala dan badan berwarna kuning
Apabila digoreng akan meletup kerana banyak lemakHalalKepala berbentuk ‘U’
Bentuk badan tirus
Berwarna hitam kelabu dan tidak berkilat
Bahagian bawah badan berwarna putih kelabu
Tiada warna kuning kelihatan di bahagian antara bawah kepala dan badan
Digoreng tidak meletupSumber: Berita Harian
No comments:
Post a Comment