Monday, 14 April 2014

Perbandingan kos SAR MH370 tidak adil


mas-bendera1xxSudah mula kedengaran desas-desus mengenai jumlah kos yang telah dibelanjakan dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MH370 kerana selepas satu bulan lamanya masih belum ada bukti fizikal yang mampu menjerumus bahawa penerbangan tersebut sememangnya berakhir di Lautan Hindi.
Tetapi apa yang kurang enak didengar adalah terdapat cubaan untuk membandingkan kos SAR MH370 dengan satu lagi peristiwa yang selari iaitu penerbangan Air France AF447 yang terhempas di Lautan Atlantik pada tahun 2009.
Terdapat pihak yang membuat analisis sinis dengan berhujah SAR AF447 yang berlarutan sehingga 2 tahun lamanya hanya menelan belanja sebanyak AS$50 juta sedangkan SAR MH370 yang telah masuk hari ke 35 besar kemungkinan melepasi angka AS$50 juta tersebut. Tetapi apa yang paling nyata adalah kos pencarian MH370 dijangka tertinggi dalam sejarah penerbangan awam.
Tidak adil untuk membandingkan kos dengan menggunakan dua analogi jangkamasa dua peristiwa iaitu 2 tahun dan 1 bulan kerana kedua-dua misi SAR AF447 dan MH370 adalah jauh berbeza senarionya di antara satu sama lain.
Walaupun SAR AF447 mengambil masa 2 tahun bermula dari 1 Jun 2009 dan berakhir secara rasmi pada 3 Jun 2011 tetapi operasinya berjalan secara berperingkat dan tidak berterusan.
Secara khususnya misi SAR tersebut yang berjalan dalam lima peringkat berasingan sebenarnya mengambil masa 10 minggu lamanya. Ini adalah kerana dalam jangka masa 2 tahun operasi tidak dapat dijalankan secara berterusan kerana masalah logistik dan juga terpaksa mengubah kaedah pencarian beberapa kali.
Tetapi berbeza dengan misi SAR MH370 bermula pada hari pertama di kawasan pencarian Laut China Selatan, kemudian beralih ke Laut Andaman dan Selat Melaka dan seterusnya kemuncaknya di Lautan Hindi, operasi pencarian tersebut berlaku secara berterusan dan hanya sekali sekali tergendala kerana masalah cuaca buruk.
Operasi pencarian AF447 hanya melibatkan aset ketenteraan seperti pesawat dan kapal dari empat negara iaitu Perancis, Sepanyol, Brazil dan Amerika Syarikat (AS). Berbeza dengan misi SAR MH370 ia bukan sahaja melibatkan jumlah negara yang lebih besar iaitu sebanyak 26 kesemuanya, tetapi juga jumlah aset ketenteraan yang digunakan jauh melebihi apa yang digunakan dalam mencari AF447.
Jika digabungkan kawasan pencarian MH370 di Laut China Selatan, Laut Andaman, Selat Melaka dan Lautan Hindi ia merangkumi lebih dari 3 juta km persegi keluasannya. Berbeza pula dengan AF447 kawasan pencarian di Lautan Atlantik tidak melebihi 400,000 km persegi.
Dengan perbezaan keluasan kawasan pencarian menghampiri 8 kali ganda maka sudah pasti aset dan kelengkapan yang digunakan dalam mencari MH370 akan mengatasi SAR AF447. Kos operasi sama ada yang terbit secara langsung seperti penggunaan bahan bakar atau tidak langsung (seperti gaji anggota tentera) aset ketenteraan bukan sesuatu yang murah harganya.
Australia yang mengetuai operasi SAR di Lautan Hindi dikatakan memperuntukkan AS$750,000 sehari dalam menampung kos pencarian itu. Begitu juga dengan China dan AS yang banyak menggunakan pesawat peninjau dan kapal perang milik negara masing-masing adalah antara negara yang menyediakan peruntukan yang agak besar. Penggunaan imej satelit yang disediakan oleh AS, Perancis, China dan Thailand turut menyumbang kepada jumlah kos pencarian yang agak tinggi.
Tetapi apa yang paling menarik adalah kos yang terpaksa ditanggung oleh setiap negara tidak pernah diungkit pemimpin negara berkaitan.
Perdana Menteri Australia, Tony Abbot menegaskan, Australia akan tetap meneruskan operasi pencarian dan peruntukan kewangan secukupnya akan disediakan oleh kerajaan beliau supaya misi tidak terbantut. Begitu jua dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak seiring dengan pendirian Abbot bahawa kos SAR setakat ini bukan menjadi isu kritikal.
Begitu juga dengan AS yang pada awalnya telah memperuntukkan AS$4 juta khusus untuk kos SAR MH370, telah menambah peruntukan sebanyak AS$3.6 juta untuk digunakan sebagai menampung kos pencarian di dasar laut.
Tidak adil bagi sesetengah pihak menimbulkan isu kos dan lebih tidak adil jika dibandingkan dengan SAR AF447. Ini adalah kerana kos dan perbelanjaan yang terbit dari SAR MH370 atau pun AF447 adalah sebahagian dari kos harian untuk memastikan setiap angkatan tentera tidak kira dari AS, China atau Australia dan juga dari negara kecil lain seperti Malaysia, Indonesia atau Singapura sentiasa siap siaga dalam misi operasi SAR kerana itu adalah sebahagian dari tanggung jawab mereka.
Sebab itu juga latihan ketenteraan untuk menguji kecekapan dan persefahaman mengendali operasi SAR sentiasa diadakan dalam kalangan angkatan tentera dari negara berbeza.
Umpamanya latihan ketenteraan yang dinamakan Kerjasama Kesiagaan dan Latihan (CARAT), iaitu latihan SAR di laut di antara tentera laut AS dengan beberapa negara seperti Bangladesh, Brunei, Kemboja, Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand, Timor Leste dan juga Malaysia adalah khusus diadakan untuk menghadapi situasi SAR MH370. Kali terakhir CARAT di antara AS dan Malaysia diadakan pada Jun 2013 selama satu minggu lamanya.
Perbelanjaan yang terpaksa ditanggung oleh setiap negara untuk menjayakan CARAT adalah tinggi terutama sekali untuk negara yang mempunyai peruntukan perbelanjaan pertahanan yang agak terhad. Tetapi jarang sekali dipersoalkan tentang kos kerana apa yang dilakukan adalah untuk persediaan masa depan supaya setiap operasi SAR berjalan lancar.-10/4/2014

No comments:

Post a Comment