Sunday, 9 February 2014

Sultan JOHOR selamatkan banduan dari tali gantung.


PETALING JAYA: Seorang banduan “diselamatkan” daripada tali gantung oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, beberapa jam sebelum hukuman itu dijalankan oleh pihak penjara.

P Chandran disabit kesalahan membunuh dan dijadual menjalani hukuman itu awal hari ini namun ia ditunda atas titah Sultan Ibrahim, lewat malam semalam.

Perkara itu disahkan oleh abang Chandran Thamotharan yang menerima panggilan daripada pihak berkuasa penjara untuk memaklumkan titah Tuanku.


“Keluarga saya amat gembira dan amat berterima kasih kepada Istana Johor kerana kesudian baginda untuk mengeluarkan titah sedemikian,” kata beliau.

Keluarga banduan itu telah mengemukakan permohonan belas kasihan kepada Sultan Johor selepas Chandran dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Johor pada tahun 2008.

Beliau disabit kesalahan membunuh K Muthuraman di Ulu Tiram, Johor pada tahun 2003. Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan kemudiannya menolak rayuan Chandran.  

Malaysia adalah antara sebilangan negara di Asia yang masih menjatuhkan hukuman gantung sampai mati untuk beberapa kesalahan termasuk membunuh dan mengedar dadah.

Putrajaya dijangka membuat keputusan muktamad bulan depan sama ada untuk menerima syor Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang mahu hukuman itu dimansuhkan.

Chandran berusia 25 tahun apabila beliau disabitkan kesalahan membunuh. Beliau sudah menghabiskan 11 tahun di dalam penjara. - Antara Pos

No comments:

Post a Comment