[Mohon Sama-sama lah kita terasa]
Daging Rosmah Masak Kicap
"Daging Bung Mokhtar masak lemak cili api satu!"
"Ha, kamu makan kat rumah ye malam ni? Mak masak sedap! Daging Muhyiddin goreng halia."
"Mamak! Roti naan keju satu! Lepas tu semangkuk kari daging Najib ye?"
Pandang kiri, pandang kanan.
Kita mungkin merasakan dialog-dialog di atas adalah fiksi semata. Jika ada pon, hanya di dalam mimpi ngeri tak basuh kaki segelintir daripada kita.
Tapi sedarkah kita, kita sebenarnya melakukannya hampir setiap hari? Ya, memakan daging-daging mereka ini, malah ramai lagi...?
Anda tidak percaya? Baiklah. Bersedia untuk ditampar kuat oleh ayat chenta ini?
"Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan prasangka (kecurigaan), kerana sebahagian daripada prasangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah sebahagian kalian mengumpat (ghibah) sebahagian yang lain. Adakah seorang di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang."
[al-Hujuraat, 49:12]
Gulp.
Ya, ghibah. Atau dalam Bahasa Melayu daftar kata modennya, menganyam ketupat. Err, maksud saya, mengumpat.
Apa itu ghibah?
Sabda Nabi SAW, "Tahukah kalian apakah ghibah itu?" Mereka (para sahabat) menjawab, "Allah dan RasulNya yang lebih mengetahui." Baginda bersabda, "Iaitu engkau menyebut saudaramu dengan sesuatu yang dibencinya." Ditanyakan, "Bagaimana halnya jika apa yang aku katakan itu (memang) terdapat pada saudaraku?" Baginda menjawab, "Jika apa yang kamu katakan terdapat pada saudaramu, maka engkau telah mengumpatnya (melakukan ghibah) dan jika ia tidak terdapat padanya maka engkau telah berdusta atasnya."
[Hadith Riwayat Muslim]
Mudahnya begini. Kita bercakap sesuatu yang buruk dan hodoh tentang Ibrahim Alias (meski apa yang dikatakan itu benar). Andai Ibrahim Alias ada di hadapan kita dan dia mendengar dengan telinganya sendiri apa yang dikatakan dan dia membencinya, ha, itulah yang dikatakan sebagai ghibah. Dan sekiranya apa yang kita cakapkan itu adalah tidak benar, itu dikira sebagai buhtan (dusta).
Nah, sekarang kiralah, berapa kati daging-daging saudara-saudara seIslam kita yang telah kita kunyah dan hadam setiap hari...?
Mata terbeliak.
Mengumpat sudah menjadi begitu mainstream, begitu kebiasaan dalam kehidupan kita sehari-hari, sehingga kita langsung tidak berasa bersalah tentangnya. Sehinggakan borak-borak kita yang biasa-biasa itu hari-hari pasti akan disulami dengan sesi menganyam ketupat dengan riang gembira sekali, tanpa ada langsung rasa bersalah yang melekat di hati.
Kegemaran masyarakat massa marcapada ini dengan bahan-bahan berita berbentuk tabloid dan gosip-gosip liar memburukkan lagi keadaan. Keburukan dan kelemahan orang ramai diraikan. Kepincangan dan kebobrokan individu diperbesarkan dan disensasikan. Malah media-media massa sentiasa mencari-cari dan mengorek-ngorek rahsia-rahsia peribadi atau keburukan orang tertentu untuk melariskan jualan surat khabar dan makalah mereka.
Ini benar-benar bertentangan dengan akhlak asas seorang Muslim. Geleng kepala.
Apatah lagi pada zaman era MukaBuku, Pengicau dan Instagram ini, semakin mudahlah berita-berita yang berbicara tentang keburukan orang lain disebarluaskan. Dengan hanya sekali klik, tabiat Dato' Kelvin Klein yang suka memakai seluar dalam berwarna merah jambu dihebahkan. Dengan hanya sekali tekan, gambar Kak Sarkonah sedang mengacau rendang sambil menggaru punggung pantas dikongsikan. Dan dengan sekali sentuh, mesej pergaduhan antara Azmin Sali dan Khalid Ismail tentang arnab siapa yang lebih gemok diperbesar-besarkan.
Budaya troll yang semakin popular dalam kalangan generasi muda terutamanya juga menjadikan cacian dan umpatan bukan sekadar kebiasaan, tapi kemestian. Dikongsi pula gambar-gambar yang mengaibkan atau dialog-dialog jujur yang memalukan secara berantai di Waksep, Line dan sebagainya! Mudahnya nak buat dosa-dosa kering secara percuma di zaman ini kan?
Hmmm. Sedap kan bau daging-daging manusia bakar...?
Lebih menakutkan dan mengerikan lagi, apabila di dalam bulatan-bulatan gembira yang sepatutnya diisi dengan pengisian dan perkongsian tarbawi dan menggugah jiwa itu, juga dihidangkan dengan daging-daging manusia panggang dan goreng tepung. Secara sedar atau tidak, perbincangan yang berbicara tentang keburukan dan kebejatan orang lain, begitu rancak dan seronok dilakukan di dalam pertemuan-pertemuan berkala ini.
"Ana perasan, akh Nobita tu dah lama tak berbulatan gembira. Mesti dia dah futur kan? Ish ish ish. Itulah tebal sangat jahiliyyah tu!"
"Enti tau tak, ukhti Barbie tu ponteng konferens riang minggu lepas? Entah, dengarnya sebab hal keluarga. Tapi rasanya dia memang malas nak pergi tu."
"InshaAllah hari ni kita nak berbicara tentang Akhbar Alam Islami. Uhm ana nak kongsikan tentang cincin yang dibeli oleh Rosnah Matnor. Dengarnya dia beli pakai duit zakat. Betul ke?"
Tersembur air suam-suam kuku.
Konon nak bermuhasabah, tapi sebenarnya sedang cari masalah. Konon nak ambil iktibar, tapi sebenarnya membuat onar. Konon nak sama-sama ambil pengajaran, walhal apa yang dilakukan sebenarnya mencari kemurkaan!
Potong bawang.
Koyak. Rabak. [Kredit]
Dan hal ini tidak hanya melibatkan rakan-rakan dan keluarga terdekat. Sebenarnya ghibah ini teraplikasi kepada mereka yang tidak ada hubungan saudara-mara, kenalan, persahabatan hatta bau-bau bacang sekalipon! Termasuklah para artis dan selebriti, para pemimpin negara dan parti politik dan sesiapa sahaja di luar sana, termasuklah abang Pakistan yang menjual cendol pulut jagung di tepi jalan itu! Err.
Ya saya tahu. Saya tahu. Memang ada situasi di mana dibenarkan ghibah ini. Contohnya, mengadu kepada hakim tentang orang yang zalim atau dalam hal meminta fatwa. engan syarat-syarat dan keadaan tertentu, sememangnya dibenarkan untuk kita mengunjing dan mengumpat ini.
Namun saya khuatir, apabila kita sengaja mereka-reka alasan, mencari-cari helah untuk 'menghalalkan' umpatan dan cacian kita. Berhujah dengan penuh semangat shiuhh shiuhh rambut menggerbang ditiup angin, mempertahankan tindakan kita mengumpat dan mengata orang atau individu tertentu, walhal tidak perlu pon untuk kita berbuat sebegitu.
Mengapa mahu sengaja mencampakkan diri kita ke dalam kawasan samar-samar, yang tidak hitam dan tidak juga putih? Mengapa sengaja mahu melakukan sesuatu yang syubhah (tidak pasti) sedangkan perkara yang pasti lagi jelas sudah trang tang tang di depan mata? Mengapa mahu sengaja cari fasal sedangkan kita punya pilihan yang jauh lebih selamat dan berkat..?
"Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam..."
[Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim]
Melainkan kita benar-benar pasti bahawah ghibah yang bakal kita lakukan itu benar-benar dibenarkan dan halal di sisi syari'e, lebih baik kita mengambil langkah selamat dengan berdiam diri sahaja. Dan berdiam diri di sini, termasuklah tidak berkongsikan gambar-gambar atau kuot-kuot yang mengaibkan di alam maya!
Dan tidak mahukah kita aib-aib kita yang memalukan dan mengalirkan peluh besar itu ditutup Allah di Mahsyar nanti, apabila kita menutup aib orang lain di dunia ini? Meskipon ia adalah keaiban yang sahih dan sudah terbukti benar?
Tidak takutkah kita di Hari Pengadilan nanti, tatkala kita menyangka kita sudah terjamin masuk sorga, hanya berputih mata melihat segala amal kita berterbangan ibarat debu di padang pasir, satu persatu diambil dan diberikan secara percuma kepada mangsa-mangsa kanibalisme kita ketika di dunia dahulu? Tidak ngerikah kita, andai kita dicampak, diseret mulut dan wajah kita di atas lantai neraka, hanya kerana kelancangan mulut kita berkata-kata sewaktu kita hidup dahulu?
"Barangsiapa menolak (ghibah atas) kehormatan saudaranya, niscaya pada hari kiamat Allah akan menolak menghindarkan api neraka dari wajahnya."
[Hadith Riwayat Ahmad]
Habuk masuk mata.
Benar, kezaliman itu perlu ditentang. Penindasan itu perlu diperangi dengan sehabis baik. Tapi bukan dengan cara kita menzalimi diri sendiri apatah lagi orang lain. Bukan dengan cara kita menjadi kanibal, memakan daging saudara-saudara kita dengan rakus sekali!
Saya khuatir sekali, andai tabiat dan budaya mengumpat ini tidak dibendung dengan seriyes, arakian semakin kurus keringlah umat Islam dek banyaknya daging-daging mereka yang dimakan. Eh. Maksud saya, risau andai tabiat mengunjing dan menganyam ketupat ini menjadi kebiasaan dan tabiat harian kita semua, sehingga hati kita menjadi keras dan kering, tidak lagi dapat membedakan antara dosa dan pahala. Umat Islam sering bercakaran, memburuk-burukkan antara satu sama lain dan saling menjatuhkan dek tempias umpatan yang beracun dan memunuh ini.
Maka berhentilah. Berhentilah daripada memakan daging-daging saudara-saudara kita, walau selemak dan segebu mana pon ia. Kerana ia bukan sahaja akan menggemokkan kita dengan dosa dan noda di dunia, ia juga akan menjejaskan kesihatan tubuh badan kita di akhirat nanti.
"Celakalah setiap pengumpat dan pencela!"
[al-Humazah, 104:1]
Celakalah! Celakalah!
Gulp.
-gabbana-
Ketika saya berkongsikan status yang membawa maksud yanghampir serupa di laman MukaBuku saya, ada satu komen yang cukup lucu dan menggelikan hati. Ia berbunyi kurang lebih begini:
"Daging Rosmahlah yang paling banyak aku makan. T.T"
Lucu, tetapi ada benarnya di situ.
Moga kita terhindar daripada tergolong dalam kalangan kanibal tanpa sedar ini.
No comments:
Post a Comment