Thursday, 9 January 2014

Rahsia Kenapa Kristian Mahu Guna Kalimah ''ALLAH''

#ARTIKEL INI AGAK PANJANG#


http://www.youtube.com/watch?v=mB7HcyRvX3o
Di Malaysia ketika ini masih terdapat kelompok umat Islam memandang remeh isu 
desakan orang bukan Islam untuk dibenarkan menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam 
penerbitan ajaran agama mereka. Malah kelompok ‘liberalist’ dan ‘pluralist’ Islam ini 
menggesa pula umat Islam supaya tidak perlu khuatir jika bukan Islam dibenarkan 
menggunakan kalimah tersebut atas alasan kononnya gambaran ancaman 
kegelinciran akidah umat Islam adalah sebenarnya hanya datang dari orang Islam yang 
lemah iman semata-mata.

Sebenarnya kekhuatiran dan kewaspadaan itu sangat berasas serta munasabah. 
Penentangan terhadap penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh bukan Islam ini bukan 
datang dari mereka yang lemah iman tetapi hadir dari mereka yang sangat arif
tentang agama, dakwah dan permasalahan umat Islam termasuk dari kalangan para
 mufti dan ulama pelbagai parti politik.

Majlis-majlis agama Islam negeri sendiri juga telah bertindak memohon kebenaran 
untuk mencelah dalam semakan kehakiman terhadap keputusan Hakim Mahkamah 
Tinggi, Yang Arif Hakim Puan Lau Bee Lan pada 5 Mei 2009 yang telah memberikan 
kebenaran kepada Archbishop of Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam untuk memohon 
bagi semakan penghakiman terhadap keputusan Kementerian Dalam Negeri yang 
melarang penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam penerbitan 
mingguan “Herald - Catholic Weekly.

Pada 21 April 2008, Pakiam telah memohon semakan kehakiman kepada 
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mencabar keputusan Kerajaan Malaysia 
yang melarang penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh Herald - The Catholic Weekly.

Beliau kemudiannya mengemukakan semula permohonan baru pada 16 Februari 
2009 selepas permohonan serupa sebelum itu telah dianggap bersifat akademik 
berikutan tamatnya tempoh sah permit penerbitan itu pada 31 Disember 2008.1

Archbishop of Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika memohon
 semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Kerajaan Malaysia yang melarang penggunaan 
kalimah ‘Allah’ oleh Herald - The Catholic Weekly.

Langkah pihak berkuasa melalui majlis-majlis agama Islam negeri ini sebenarnya 
adalah bertujuan mengelakkan sebarang kekeliruan di dalam beragama sebagai akibat
 daripada penggunaan kalimah ‘Allah’, yang boleh mengancam keselamatan, 
keamanan dan keharmonian masyarakat awam serta boleh menimbulkan sensitiviti 
agama.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam 
Malaysia kali ke-82 yang bersidang pada 5 hingga 7 Mei 2008 memutuskan bahawa 
penggunaan kalimah Allah adalah khusus buat agama dan umat Islam sahaja.2

Memang kita mengetahui bahawa kalimah ‘Allah’ ini turut digunakan oleh bukan Islam 
di negara-negara Arab dan negara jiran kita, Indonesia untuk merujuk kepada Tuhan 
mereka, bahkan sebelum kehadiran risalah Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad
 s.a.w. lagi.

Walaupun larangan penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh bukan Islam ini tidak disebut 
secara jelas dalam al-Quran dan al-Hadis, serta mana-mana kitab fiqh muktabar namun 
tindakan menyekat penggunaan kalimah ‘Allah’ kepada bukan Islam di 
negara ini sebenarnya menepati kehendak 'Siyasah Asy-Syar’iyyah'3.

Pihak berkuasa boleh berijtihad atas dasar ‘Masolih Mursalah4 iaitu 
kemaslahatan-kemaslahatan yang tidak ada dalil mengakui dan menolaknya,
 dan ia menepati tuntutan ‘Maqasid Syariah’5 (tujuan syarak) iaitu ‘Hifzu ad-Din’ 
(memelihara agama).

Kita juga amat menyedari bahawa di sana terdapat alasan yang amat munasabah 
dan kukuh untuk mewujudkan kewaspadaan dalam isu ini kerana dapat difahami 
penggunaan kalimah ‘Allah’ merupakan salah satu strategi terancang oleh pihak 
gereja untuk menyebar luaskan agama Kristian di Malaysia, dan di negara-negara 
bukan penutur jati Bahasa Arab dan memurtadkan umat Islam terutama bagi mereka 
yang masih lemah akidah dan pengamalan agama.

Ia dapat dibuktikan menerusi pendirian sebuah organisasi pendakyah Kristian, 

The People of the Book6 yang termuat dalam risalah strategi mereka. Walaupun 
mereka sendiri mengakui bahawa kalimah ‘Allah’ di dalam al-Quran tidak memiliki 
maksud yang sama dengan ‘God’ di dalam Bible, namun organisasi ini berpendapat 
penggunaannya amat berkesan untuk memurtadkan umat Islam sebagaimana telah 
dijelaskan oleh mereka seperti berikut:
“We believe that it can be very effective to use the Quran as a tool to share

concepts that are familiar and acceptable to Muslims, and that support Biblical

principles. There are many concepts that are very compatible with the Bible and there

are other Quranic teachings that may actually be misunderstood by Christians and

Muslims. Of course, the Holy Bible is the only and complete authority for

everything pertaining to doctrine and lifestyle. We believe that it is perfectly acceptable

to use the name Allah, both in the Bible that we use to minister to Muslims, as well as

materials that we distribute. It is the translation of the word “God” in Arabic. Joshua

Massey has written an excellent summary about this topic. This does not mean

that Allah in the Qur’an is exactly the same as the God of the Bible.” 7
John Hultvall, seorang mubaligh Mission Covenant Church of Sweden yang terlibat 
dalam misi pengembangan agama Kristian di Turkestan timur (kini wilayah 
Xinjiang, China), sebuah kawasan berpenduduk majoriti Islam, juga berpendapat 
bahawa walaupun penggunaan kalimah ‘Allah’ dipersoalkan dalam kalangan 
penganut-penganut Kristian sendiri, mubaligh-mubaligh Kristian sentiasa 
menggunakannya dalam usaha mereka memurtadkan umat Islam.

Hultvall, dalam kata pengantar bukunya, Mission and Revolution in Central Asia menulis:
“It is questionable whether a description of mission work among Muslims should use

the name of “Allah” and not “God”. Some Muslims mean that “Allah” should be

translated by “God” in western languages. The missionaries always use the word “Allah” and this usage has been observed here too.” 8

Selain itu, Kevin Greeson, yang juga seorang mubaligh Kristian juga telah menulis sebuah 
buku bertajuk The Camel: How Muslims Are Coming to Faith in Christ!. Buku ini telah 
dijadikan panduan oleh mubaligh-mubaligh International Mission Board (IMB) khusus 
untuk memurtadkan umat Islam.

Buku bertajuk The Camel: How Muslims Are Coming to Faith in Christ! karya mubaligh Kristian, Kevin 
Greeson yang menjadi panduan kaedah bagi memurtadkan umat Islam termasuk melalui penggunaan kalimah
 ‘Allah’.

Kaedah ‘The Camel’ dalam penyebaran agama Kristian kepada orang Islam, antaranya 
ialah penggunaan kalimah ‘Allah’ bagi merujuk kepada Tuhan agama Kristian.

Walaupun penggunaan kalimah ‘Allah’ ini dikritik dan kurang disenangi oleh kalangan 
pemimpin dan penganut agama tersebut sendiri namun disebabkan oleh muslihat 
terselindung yang mampu memberi manfaat kepada dakyah mereka, maka ia tidak 
dianggap sebagai sesuatu isu besar. Mereka menjadikan penggunaan kalimah ‘Allah’ 
ini sebagai suatu ‘jambatan’ untuk mendekati serta memurtadkan umat Islam di seluruh 
dunia.

Pengarah Misi untuk The Corpus Christi Baptist Association di Texas, Edd Jump 
mengakui keberkesanan kaedah ‘The Camel’ ini sekalipun dia secara peribadi 
tidak selesa dengan penggunaan kalimah ‘Allah’ bagi merujuk kepada Tuhan.

Seorang baptis Georgia seperti dilaporkan oleh portal The Christian Index, mendakwa kaedah ‘The Camel’ 
telah menjadi pendekatan yang sangat berkesan sepertimana dapat disaksikan terhadap umat Islam 
di Amerika Syarikat. Baptis itu berkata: “Sebahagian orang menggunakan pendekatan ini dalam komuniti kita 
dalam perkara asas harian dan mereka melihat tindak balas yang hebat.”

Sementara itu, Presiden The Christian Index IMB, Jerry Rankin dipetik sebagai berkata:
“What our missionaries are doing with ‘The Camel’ is much like what Paul did when

he went to Athens. He saw an altar ‘To The Unknown God’ and stated, ‘him declare I

unto you.’ In seeking to reach the Muslims, you start with where they are and with their

worldview and bring them to the bridge, to the passage in the Qur’an that speaks of Isa

(Jesus) and then take them to the gospels. Of course, the Bible is the inspired Word

of God and you pray and trust the Holy Spirit to reveal the truth about Christ to them.” 9
Kita juga didedahkan dengan laporan cover story majalah Christianity Today dalam
 keluaran Februari 2011 yang bertajuk Muslims and the “Son of God”.10 Di mana laporan
 ini secara tidak langsung telah membongkar rahsia sebenar niat jahat pihak Kristian 
untuk “use religious vocabulary familiar to Muslims” (mengguna istilah-istilah agama 
yang biasa untuk umat Islam) supaya memudahkan kerja-kerja dakyah mereka.

Majalah berkala Kristian Evangelika, Christianity Today keluaran Februari 2011 telah memuatkan laporan cover 
story bertajuk Muslims and the “Son of God” turut menyentuh strategi penggunaan kalimah 'Allah' dalam 
penyebaran agama Kristian di kalangan umat Islam. 

Walaupun sebahagian besar dari pihak paderi sendiri menentang usaha untuk mengguna 
istilah-istilah yang “familiar to Muslims”, dan mereka ini “…charge their colleagues with 
compromise that undermines belief in Jesus Christ”, namun kerana niat jahat 
mereka untuk mempengaruhi dan memurtadkan umat Islam, maka penggunaan istilah itu 
tetap diteruskan.

Dalam perbincangan di kalangan mereka yang melakukan kerja-kerja dakyah Kristian 
di negara-negara majoriti umat Islam tahun sebelumnya, telah diperakui bahawa usaha 
mengelirukan umat Islam dengan istilah-istilah ini telah berjaya dengan “many thousands 
of Muslims in this nation alone, then, had found faith in Jesus” (ribuan telah berjaya 
dimurtadkan).

“This nation” ini merujuk kepada sebuah negara Islam yang dirahsiakan namanya dari 
disiarkan dalam majalah tersebut. Mungkinkah negara tersebut ialah Malaysia?

Artikel tersebut juga memetik seorang missiologist (pakar dakyah mereka yang telah 
melakukan kerja-kerja ini di Asia dan Afrika sejak 1977 lagi) yang berkata “Missionaries 
can live in a Muslim culture for decades, blaming Muslims for being “resistant” to 
the gospel, when the problem actually lies with linguistic and cultural stumbling 
blocks”. Maka secara tidak langsungnya, kini mereka percaya bahawa mereka telah 
dapat melepasi satu “halangan” linguistik untuk kerja dakyah kepada umat Islam 
(di Malaysia).

Dan dia merumuskan “Once these are removed, many Muslims are quite open and 
interested in knowing more about Jesus”.

Kisah penggunaan istilah Allah juga disabitkan sebagai suatu kejayaan mereka untuk 
membuka minda umat Islam untuk menerima dan membaca Bible – “Muslims reading 
Scripture for the first time won’t immediately reject the Bible as foreign to their culture”.

Dengan itu, apa yang kita lihat berlaku di negara kita dengan usaha mereka 
mengguna istilah-istilah seperti kiblat, Kaabah, solat, dan beberapa lagi 
adalah di antara usaha mereka untuk “strategically changed particularly challenging 
phrases”.

Menurut tulisan itu lagi, mereka juga ada missionari khas untuk “discipling Muslims” 
dengan program latihan “teaches missionaries what Muslims believe so they can 
minister to them effectively”.

Oleh kerana itu, sedarlah mereka yang “memperjuangkan” kebebasan untuk 
mengguna istilah-istilah yang lazimnya digunakan oleh umat Islam di negara ini, 
bahawa bukannya kebebasan yang mereka cari tetapi usaha untuk memurtadkan 
umat Islam yang menjadi matlamat mereka.11

Mengapakah pihak Gereja Katolik tidak mahu menggunakan istilah Tuhan, ‘God’ 

atau ‘Lord’ dalam penerbitan mereka, sebaliknya mahu bertegas menggunakan 
kalimah Allah. Puak-puak ini sanggup untuk turun naik mahkamah hanya sekadar 
inginkan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan mereka.12 

Semoga dengan pendedahan ini dapat sedikit sebanyak menyedarkan umat Islam
 terutama kepada mereka yang masih keliru dengan agenda tersembunyi musuh Islam 
dalam penggunaan kalimah ‘Allah’ ini.

Ambillah peringatan Allah Taala dalam al-Quran seperti berikut:


“Orang Yahudi dan Kristian tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepada 
engkau (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut millah (agama) mereka 
(yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka), "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar". Sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu
 mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepada engkau
 (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh daripada Allah (sesuatu 
pun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada engkau". [Surah al-Baqarah: 120]



[1] Akhbar Herald - The Catholic Weekly, pada tahun 2009 berdepan masalah berikutan larangan 
Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk penerbitan edisi Bahasa Malaysianya yang menggunakan 
kalimah 'Allah' bagi merujuk kepada Tuhan dalam agama Kristian.

Pada 16 Februari 2009, Archbishop of Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam sebagai penerbit 
akhbar berkenaan telah mengemukakan permohonan baru bagi mendapatkan semakan semula 
penghakiman selepas permohonan serupa pada 21 April 2008 dianggap bersifat akademik berikutan 
tamatnya tempoh sah permit penerbitan itu 
ada 31 Disember 2008.

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Majlis Agama Islam Majlis Agama Islam dan 
Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAIPP), Majlis 
Agama Islam Selangor (MAIS), Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK), Majlis Agama Islam Negeri 
Johor (MAIJ), Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) 
telah memohon sebagai pencelah dalam semakan kehakiman tersebut.

Bagaimanapun, dalam penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Disember 2009 telah 
memutuskan bahawa larangan menyeluruh KDN berhubung penggunaan kalimah 'Allah' adalah salah di
 sisi undang-undang.

Penghakiman tersebut mencetuskan siri serangan membakar beberapa gereja di seluruh negara pada 
bulan berikutnya, kemudian digantung sementara menunggu rayuan kerajaan yang berhujah bahawa
 kalimah 'Allah' adalah eksklusif kepada umat Islam.

[2] Fatwa rasmi oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan mengenai isu tuntutan penganut Kristian terhadap 
penggunaan kalimah ‘Allah’ ini boleh dibaca di
 http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/isu-tuntutan-penganut-kristian-terhadap-penggunaan-kalimah-allah

[3] Perkataan ‘siyasah’ (سياسة) dari sudut bahasa bermaksud “mentadbir sesuatu perkara dengan baik” 
atau “pemerintah mentadbir urusan rakyat”. Perkataan ‘syar‘iyyah’ (شرعية) pula berasal dari perkataan 
‘syari`at’ (شريعة) dalam Bahasa Arab, yang dalam penggunaan biasanya diertikan sebagai “sumber air
 minum atau pembawaan yang jelas”.

Menurut sudut istilah, para fuqaha’ (ahli-ahli fiqh) pula mentakrifkan 
‘Siyasah Asy-Syar‘iyyah’ (السياسة الشرعية) sebagai “tindakan pemerintah terhadap sesuatu 
perkara kerana mendapatkan suatu kemaslahatan walaupun tindakan itu tidak mempunyai 
dalil pada juzu’nya.” Dalam penakrifan lain mereka berkata “menguruskan kemaslahatan manusia 
dengan mengikut  ketentuan syarak.”

Siyasah Asy-Syar`iyyah ialah ilmu yang membincangkan mengenai pentadbiran sesebuah kerajaan 
Islam yang terdiri daripada undang-undang dan sistem yang  berasaskan kepada asas-asas Islam 
atau mentadbir urusan umum negara Islam dengan cara yang membawa kebaikan kepada 
manusia dan mengelakkan mereka daripada kemudharatan, tanpa melanggar sempadan syarak 
dan asas-asas kulliah walaupun dalam perkara yang tidak disepakati oleh ulama mujtahidin
[Abdul Wahab Khallaf: Siyasah Syar`iyyah Aw Nizam al-Daulah Islamiyah Fu Syu Un al-Dusturiyah 
wa al-Kharijiyah wa al-Maliyah; Kaherah, 
Dar al-Ansar. hlm.18]

[4] ‘Masolih Mursalah’ (المصالح المرسلة) dari segi bahasa bermaksud “suatu keadaan yang sesuai
 untuk diadakan hukum syarak kerana boleh mendatangkan kebaikan atau menjauhkan daripada 
keburukan.” Menurut istilah, ia bermaksud “membuat sesuatu hukum dan undang-undang yang baik 
dan berfaedah untuk kepentingan manusia dan masyarakat yang tidak ada sebarang nas untuk 
dijadikan bukti dan dasar sama ada ia boleh dilaksanakan, harus atau tidak boleh dilaksanakan.
” [Abdul Karim Zaidan. 1994. Al-Wajiz Fi Usul al-Fiqh. Beirut: Muassasah al-Risalah. Cet 4. hlm. 237]

[5] ‘Maqasid’ merupakan matlamat yang ingin dicapai dalam melaksanakan sesuatu.
 Maqasid asy-Syariah’ (مقاصد الشريعة) merupakan matlamat atau objektif utama yang diletakkan dalam
 mensyariatkan hukum. Terdapat 5 perkara asas dalam ‘Maqasid Asy-Syariah’ dalam konteks perjuangan 
menegakkan agama hari ini iaitu:

(1) Memelihara agama, Hifzu ad-Din (حفظ الدين), (2) Memelihara nyawa, Hifzu an-Nafs (حفظ النفس), (3) 
Memelihara akal, Hifzu al-Aqli (حفظ العقل), (4) Memelihara keturunan, Hifzu an-Nasl (حفظ النسل), dan (5) 
Memelihara harta, Hifzu al-Maal (حفظ المال).

[6] The People of the Book ialah sebuah organisasi yang giat menjalankan pengembangan 
kepercayaan agama Kristian kepada umat Islam yang boleh bertutur 
dalam Bahasa Sepanyol. Sila rujuk  http://www.thepeopleofthebook.org/about.html

[7] The People Of The Book - Following Isa along the straight path, Strategy Brochure. 
Risalah dakyah Kristian ini boleh dimuat turun
 di http://www.thepeopleofthebook.org/PofB-PDF/PofBbrStrat.pdf

[8] John Hultvall, Mission and Revolution in Central Asia, Preface by the 
Author 1981hlm. 7. Tulisan ini boleh dimuat 
turundi http://www.missionskyrkan.se/Svenska-Missionskyrkan/Aktuellt/Material/Mission-and-Revolution-in-Central-Asia-by-John-Hultvall/

[9] Untuk pengetahuan lebih lanjut mengenai perkara ini, sila baca 
di http://www.christianindex.org/3313.article.print

[10] Untuk membaca keseluruhan artikel 
tersebut, sila akses kepada edisi online
 di http://www.christianitytoday.com/ct/2011/february/soncrescent.html

[11] Untuk kupasan asal artikel majalah Christianity Today, Februari 2011 
bertajuk Muslims and the “Son of God”, sila baca 
di http://membelaislam.wordpress.com/2011/04/21/kenapa-tidak-boleh-dibenarkan-pihak-gereja-mengguna-istilah-"allah"-untuk-tuhan-jesus-mereka/ 


No comments:

Post a Comment